SEJARAH SEKOLAH

Pada tahun 1963, Sekolah Rendah Kebangsaan Convent Butterworth dengan bangganya telah berpindah dari bangunan yang dikongsi dengan Sekolah Menengah Convent Butterworth di Jalan Chain Ferry ke Bangunan baru ini di Jalan Sungai Nyior.
Titik permulaan Sekolah Rendah Convent Butterworth adalah pada 1 Mei 1930 di sebuah rumah sewa di Jalan Kampung Gajah. Atas permintaan Bishop pada masa itu dan keperluan sebuah sekolah untuk anak-anak perempuan di kawasan Butterworth.
St. Teresa’s Convent bermula dengan 40 orang murid lelaki dan perempuan pelbagai kaum. Bahasa pengantar yang digunakan ialah Bahasa Inggeris. Pada bulan Oktober 1933, sebuah bangunan baru disewa untuk murid-murid lelaki.
Pada 10 Januari 1939, tanah di simpang Jalan Bagan Luar dan Mitchell Pier telah dibeli oleh Haw Par Brothers Limited, sebuah syarikat yang berasas di Singapura. Pembinaan bangunan baru dijalankan dan mengambil masa 18 bulan untuk disiapkan.
Pada 9 Ogos 1941, bangunan baru ini telah dirasmikan oleh Inspektor Kanan Sekolah-Sekolah Pulau Pinang, Mr. J.M Maede. Enrolmen pada masa itu ialah 159 orang murid perempuan. Tetapi sayangnya, sekolah ini terpaksa ditutup 4 bulan kemudian apabila perang dunia kedua berlaku dan bangunan sekolah digunakan oleh orang Jepun sebagai sekolah Jepun dan kemudian sebagai kuarters askar Jepun.
St.Teresa’s Convent dibuka semula pada tahun 1945. Sejak daripada itu, enrolmen semakin meningkat dan bangunan-bangunan terpaksa ditambah. Pada tahun 1962, keputusan telah diambil untuk membina sebuah sekolah rendah berasingan. Maka pada 1 Januari 1963, bermulalah titik permulaan sejarah Sekolah Rendah Convent Butterworth di tapak yang berlainan lebih kurang 2 km daripada Sekolah Menengah Convent Butterworth.
Jumlah murid pada ketika itu melebihi 2000 orang murid. Bangunan sekolah terdiri daripada 2 blok dengan 31 bilik darjah. Pada tahun 1970 sekolah ini dibahagikan kepada dua buah sekolah iaitu Convent(1) Butterworth dan Convent(2) Butterworth di bawah pentadbiran yang berasingan.
Bilik perpustakaan dan lobi telah didirikan pada tahun 1978. Pada tahun 1984, blok makmal sains dan muzik didirikan dan dirasmikan oleh YB Dato’ Dr. Ling Liong Sik pada tahun 1985.
Mulai 1 Januari 1990, kedua-dua buah sekolah rendah itu telah dicantum semula menjadi satu sekolah iaitu Sekolah Rendah Kebangsaan Convent Butterworth di bawah pentadbiran seorang Guru Besar.
Pada 1 Januari 1998, SRK Convent Butterworth bertukar menjadi Sekolah Kebangsaan Convent Butterworth mengikut arahan Kementerian Pendidikan sehingga sekarang. Sekolah Kebangsaan Convent Butterworth masih terdiri daripada 2 blok bangunan utama yang memuatkan Pejabat Pentadbiran, 23 bilik darjah, Bilik Guru, Makmal Sains, Bilik BBM, Bilik Kemahiran Hidup, Makmal
Komputer, Pusat Sumber, Bilik Sal, Bilik Muzik, Bilik Pemulihan, Bilik Bimbingan dan Kaunseling, Bilik SPBT, Kedai Buku, Klinik Pergigian , sebuah dewan terbuka, kantin dan surau.